Segalanya Bermula Di sini...

Thursday, November 24, 2005

Tetamu Petang



Dari luar jendela aku dapat perhatikan suasana sekeliling yang semakin suram dek awan mendung yang meliputi seluruh atap langit. Mentari seakan merajuk, menyorokkan sinarnya di balik kepulan awan mendung lantas membiarkan bumi metropolitan ini suram sejak beberapa hari kebelakangan. Panjang lelah nafas aku lepaskan sambil menarik tutup daun jendela lantaran sudah terpandangkan rintik-rintik halus hujan mulai turun membasahi bumi bertuah ini. Asyik sekali lamunanku melayan langit mendung petang sehingga tak terperasankan yang uniform kerja masih kemas melekat di tubuh. Lenyap seketika perit jerih bekerja apabila sudah berada di dalam rumah ini. Tempat "bertendang" kami 6 sekawan yang sudah hampir 4 tahun bersama. Tubuhku yang keletihan seakan merayu-rayu agar direbahkan keatas tilam bujang yang sudah mati empuknya. Mata yang sudah kelat dengan kantuknya bersedia untuk dilelapkan menantikan sebuah mimpi indah mainan tidur yang pasti takkan jadi realiti.

"Assalammualaikum...", Dari dalam bilik aku dapat menangkap suara seseorang memberi salam dari luar rumah berserta dengan ketukan di dinding pintu beberapa kali. "Siapa pulak ni..", hati kecilku bertanya sendirian. Pasti saja bukan teman-teman serumahku kerana mereka masing-masing mempunyai kunci rumah sendiri. Dengan langkah yang sedikit longlai aku berjalan ke muka pintu dan membuka pintu rumah dengan perasaan yang masih tertanya-tanya. Dalam hatiku berkali-kali berharap agar yang memberi salam itu bukan jurujual atau yang sekerjaya dengannya.

"Waalaikumsalam", sahutku sambil mataku tertumpu pada sekujur tubuh yang kurus melidi di hadapan pintu."Astagafirullah, ke mana saja kau hilang ni Saini?". Terpacul sebuah soalan tatkala terpandangkan teman rapatku yang tiba-tiba menyepikan dari tempat kerja tiba-tiba muncul di hadapanku. "Kot ye pun, jemput la aku masuk dulu Rul", jawabnya sambil mengukir sebuah senyum. "Iya tak ya jugak, eh masuklah". Tersipu-sipu aku seketika kerana membiarkan tetamu di luar rumah. Sudah hampir 3 minggu dia menyepikan diri tanpa berita, membiarkan semua teman-teman sekerja tertanya-tanya mengapa dia sudah tidak menampakkan diri di stesen lagi. Hari ini, Susaini yang sudah menjadi teman rapatku sejak mula aku bekerja di Monorail muncul dengan 1001 misteri yang pastinya akan aku korek satu persatu sebentar lagi.

"Kau pegi mana sebenarnya ni Saini..? Kau dah berhenti kerja ke? Ada masalah family? Ada masalah kat stesen ke..?" Bertalu-talu soalan aku lemparkan lantaran desakan perasaan ingin tahu yang membuak-buak. "Aku dah berhenti kerja la Rul, seminggu sebelum raya hari tu lagi. Sekarang ni aku stay kat Ipoh dengan orang rumah aku. Kitaorang kerja kat sana", jawabnya padat dan ringkas. "Aku mintak maaf sangat-sangat sebab tak bagitau engkau yang aku nak berhenti hari tu. Dah rezeki aku bukan dengan Monorail lagi agaknya. Lagipun dah tak ada semangat la nak keje kat situ.", Susaini menyambung sebelum sempat aku membuka mulut. "Hmm, tak apalah Saini, aku faham. Aku bukannya apa, engkau tu hilang cam tu je, bukan nak sound kat member-member nak berhenti. Risau gak aku, ingatkan dah lari ke Afrika Selatan ke mana ke..."."Aku tau la aku kurus kering Rul, tapi jangan la suruh aku pegi Afrika sana..." Terburai tawa kami berdua kerana lawak yang dia ciptakan.

Senang sekali aku berkawan dengan orang seperti Susaini. Dialah orangnya yang aku mengadu hiba setiap kali ada kusut yang melanda jiwa. Tak pernah sekalipun kami bertengkar birapun kami kadangkala bercanggahan pendapat. Sikapnya yang peramah, lemah lembut dan sentiasa bersahaja itu membuatkan bukan aku sahaja, malahan mana-mana staff di Monorail senang berkawan dengannya. Kehadirannya hari ini membuktikan yang dia masih ingat pada teman-teman biarpun kini kami sudah tidak lagi sehaluan. Seorang demi seorang teman meninggalkan aku demi mencari hala tuju yang lebih baik di tempat lain. Aku akur dengan hakikat yang hidup ini harus diteruskan biar apa pun situasinya. Yang pasti kenangan manis bersama teman-teman sekerja yang kini sudah tidak bersama lagi akan menjadi suatu memori yang akan tetap terpahat dalam hati ini. Doaku semoga mereka akan beroleh apa yang mereka impikan dan seperti mereka juga, aku sentiasa berdoa yang suatu hari nanti, layar ini boleh aku ubah halanya, sauh ini boleh aku angkat ke atas demi meneruskan sebuah perjalanan kehidupan..


0 comment(s):

Post a comment

<< Home