Segalanya Bermula Di sini...

Thursday, November 03, 2005

Airmata Di Pagi Syawal 1


Solat sunat Aidilfitri pagi ini berakhir dengan sebuah perasaan yang bercampur baur. Malas sekali rasanya mahu pulang ke rumah lantaran memikikrkan tiada siapa di rumah dan tiada apa yang boleh aku lakukan selain menonton tv. Saat-saat begini mahu saja rasanya aku minta dikurniakan sepasang sayap agar bisa aku terbang terus ke kampung. Tersenyum sendirian aku memikirkan impian gilaku yang pastinya hanya tinggal impian. Manakan bisa manusia terbang?? Pagi-pagi raya pula tu.. heheh.. terhambur sedikit tawa sendrian dengan jenaka yang datang entah dari mana..

"Assalammualaikum, mak. Selamat hari raya,", ucapku pada emak yang baru sebentar tadi menjawab panggilan telefonku. Cuping telingaku dapat menangkap suaranya yang sedikit bergetar apabila emak mula berbicara. " Selamat hari raya dik, dah balik sembahyang raya ye?", lembut suaranya masih tidak dapat menyembunyikan betapa sayunya hati seorang ibu apabila anaknya tak dapat pulang bersama meraikan hari raya. "Baru balik mak." Aku menjawab perlahan sambil sedaya upaya menahan sebak yang terbuku di dalam hati. Tak mahu aku mengalirkan air mata lantas mencipta sayu di hati orang tua itu.."Semua orang balik, adik je tak ada", sambung emak dengan sedikit esak di hujung suaranya. " Nak buat macam mana mak, adik kene keje hari ni", sahutku sambil menyeka air mata yang mulai gugur lantaran rasa hiba yang tak terbendung lagi rasanya. " Tak apalah dik, insyallah tahun depan kita semua boleh beraya sama-sama. Adik kerja baik-baik ye, jaga diri tu. Mak nak ziarah kubur atuk, nenek kejap." " Iya lah mak, sampaikan salam adik kat semua ye. Selamat hari raya mak". "Selamat hari raya dik, assalammualaikum..". Sayup suara emak di hujung talian sebelum perbualan kami berakhir dengan tangis yang masih bersisa di kelopak mataku. Tak sepatutnya aku menangis di pagi hari mulia ini. Apakan daya, aku cuma manusia biasa yang masih mendambakan kasih sayang keluarga. Lebih-lebih lagi daripada emak yang sudah menjadi ayah dan ibu kepada kami adik beradik sejak kami kecil lagi. Tiada apa yang aku harapkan ketika itu selain kegembiraan yang melimpah ruah untuk mereka dalam menyambut hari raya ini.

Perut yang mula berlagu mengingatkan aku yang aku masih belum menjamah apa-apa lagi sejak malam tadi. Entah apa saja yang aku fikirkan sehingga lansung terlupa untuk mengisi perut yang semenjak dua menjak ini semakin "mesra" dengan makanan. Tak kira tempat dan masa, ia akan sentiasa berlagu minta diisi degan makanan. Tak hairanlah jika ada teman-teman yang berkata aku nampak semakin berisi. Peti ais yang nampak usang itu aku kuak pintunya untuk mencari apa-apa yang bisa aku masak. Mujur saja masih ada lebihan nugget ayam yang aku beli di pasaraya besar Carrefour dua hari lepas. "Ketupat rendang tak ada, nugget pun layan je lah." Omelku sendirian. Pagi raya itu, aku menjamu diri sendiri dengan hidangan nugget ayam yang masih panas beserta dengan sos barbeku dan diserikan dengan air teh 'O' panas. Harap-harap adalah yang membawa makanan di tempat kerja nanti. Mana lagi agaknya aku hendak cari makanan pada waktu-waktu begini. Pasti tak ada gerai-gerai makanan yang beroperasi. Makanan segera?? Ahh, tekakku sudah mual bila memikirkan Mc'donalds, KFC dan segala macam makanan segera yang lain.


Tiada banyak yang boleh aku lakukan pagi-pagi raya begini. Kalau di kampung sudah pasti panjang langkah ini. Kemana lagi kalau bukan ke rumah sanak saudara dan sahabat handai yang sudah lama tidak aku ketemui. Tak kurang juga kesibukan melayan para tetamu yang akan datang bertali arus untuk sama beraya. Telefon bimbitku dari tadi tak henti berbunyi, menerima pelbagai macam pesanan ringkas ucapan selamat hari raya. Ada yang menghantar teks ucapan dan tak kurang juga yang menghantar gambar MMS mereka. Terima kasih kepada rakan-rakan dan "insan-insan" yang masih mengingati aku di sini. Selamat hari raya semua..

1 comment(s):

Ketabahan dan kesabaran itu adalah pengorbanan paling bermakna dalam hidup seorang muslim. Moga kekuatan itu kekal ada dalam diri zarul sampai bebila. Amin.

By Blogger tiade_ko$, at 12:33 AM  

Post a comment

<< Home