November...Menyambut Kedatangan Syawal
Amat panjang aku rasakan hari ini walaupun punggung ini baru saja aku labuhkan di atas kerusi yang saban hari menjadi teman setia untuk aku merehatkan diri. "Ahh.., baru pukul 12 rupanya", aku berbisik sendirian. Kalaulah aku punya kuasa, mahu saja rasanya aku cepatkan masa yang sedang berdetik, melangkau kehadapan supaya tidak aku "sengsara" dimamah rasa kebosanan yang teramat sangat ini. Apakan daya, satu minit itu memerlukan 60 saat untuk melengkapkannya. Mahu ataupun tidak terpaksalah aku menunggu sehingga habis masa kerjaku ini nanti.
Aku lontar pandangan ke sekeliling pejabat yang sunyi sepi. Hanya deruan angin daripada penghawa dingin yang sesekali memecah keheningan pejabat yang sepi ini. Kenapa hanya aku yang tinggal di sini..? Ahh, perlukah aku bertanyakan soalan yang sudah ada jawapannya... Teman-teman sekerja yang lain semuanya sudah pulang ke kampung untuk menyambut hari raya bersama keluarga masing-masing. Tinggallah aku bersama 2-3 orang teman yang lain, menyambung tugas walaupun di dalam hati sedikit meronta-ronta ingin pulang sama ke kampung. Semakin pantas jariku menari-nari di atas papan keyboard, menaip setiap patah perkataan dan nombor di dalam laporan harian. Kerja ini harus aku siapkan sesegera yang mungkin. Aku harus melarikan diri dari suasana pejabat ini yang tak ubah seperti rumah tinggal yang berpenunggu. Adalah lebih bagus aku habiskan masa aku di stesen. Setidak-tidaknya ada juga staf-staf customer service di stesen yang boleh ku jadikan teman untuk berbicara.
"TURN OFF COMPUTER", "SHUT DOWN". Beres!! bisikku dalam hati sambil tersenyum kepuasan sebelum menutup suis pada komputer setelah selesai segala tugasan di pejabat. Destinasi selepas ini sudah pasti stesen, tapi belum pasti stesen mana yang harus aku singgah. Itu semua belakang cerita, yang penting sekarang aku harus beredar dari sini supaya aku tidak terus-terusan kebosanan.
0 comment(s):
Post a comment
<< Home