Sushi Time.. Itedekimasu...
"Apasal la ramai lagi orang kat KL ni..?? tak balik kampung ke masing-masing??". Aku membebel sendirian tatkala terpandangkan deruan manusia yang masih berpusu-pusu keluar masuk daripada perut train menuju ke destinasi masing-masing. " Oooo.. hari ni kan Deepavali, patutlah orang ramai lagi." Hampir saja aku menepuk dahi kerana terlupa yang hari ini cuti umum sempena Pesta Cahaya itu. Rasa sayu tiba-tiba menyerbu diri bila mengenangkan yang aku takkan pulang untuk beraya nnti. Sedang semua orang di sekeliling sedang sibuk menyiapkan segala yang patut untuk hari raya nanti, aku masih di bumi Kuala Lumpur ini. Bersendirian. Hmm... nasib, nasib.. Tapi apabila aku buka pandangan ini seluas-luasnya aku tetap memanjatkan syukur kepadaNya kerana masih memanjangkan usia ini untuk aku mengakhiri bulannya yang penuh kerahmatan. Tak seharusnya aku bersedih kerana di luar sana pastinya ramai lagi yang senasib dengan aku yang tak dapat pulang beraya bersama keluarga.
Masa berlalu dengan pantas apabila matahari mula membenamkan wajahnya di ufuk barat sana. Memberitahu umat manusia yang petang semakin tua dan akan berganti malam sekejap masa lagi. Lantas aku bergegas turun dari train lantaran teringatkan janjiku untuk berbuka puasa bersama abg man. "Jumpa abg kat Maju Junction sekejap lagi". Ringkas dan padat pesanan ringkas yang aku terima melalui telefon bimbitku sekejap tadi. "Aiseh, lagi sepuluh minit nak berbuka ni...", aku berkata sendirian lantaran terpandangkan masa yang tercatat di atas jam tanganku. Langkah aku cepatkan supaya tidak terlambat. Mujur saja Abg Man baru tiba sejurus aku sampai di sana. " Full house, kita berbuka air dulu, sembahyang, then baru cari tempat makan ye", cadangnya apabila semua premis-premis menjual makanan segera mahupun restoran sudahpun dipenuhi oleh pengunjung yang sudah pasti ingin berbuka puasa juga.
Sushi King. Sudah agak lama aku tidak menikmati makanan Jepun ini. Pernah juga aku cuba untuk makan ikan mentah dengan wasabi yang perih pedasnya itu, namun anak tekak ini tidak mahu menerima makanan yang seperti itu. Makanya setiap kali berkunjung Sushi King, hanya makanan yang dimasak sahaja yang akan jadi pilihanku. Berselera sekali Abg Man menikmati sushinya dan aku memilih Peri-Peri Chicken untuk jadi santapan. Malam esok mungkin malam terakhir umat Islam berpuasa dan aku sedikit terkilan kerana tak dapat berpuasa di kampung. Tak dapat merasa enaknya masakan emak ketika bersahur, lebih-lebih lagi ketika berbuka puasa. Insyallah jika masih panjang lagi hayat ini aku akan bertemu dengan Ramadhan sekali lagi tahun hadapan. Semoga Ramadhan tahun ini bukanlah yang terakhir buatku. Salam Ramadhan dan Salam Aidilfitri buat semua...
0 comment(s):
Post a comment
<< Home