Sirih berlipat sirih pinang,
Sirih dari Pulau Mutiara,
Pemanis kata selamat datang,
Awal bismillah pembuka bicara.
Setelah hilang dalam diam, menyepi seketika akhirnya diri ini terdorong kembali untuk mencoret barang sepatah dua kata dalam blog yang tidak seadanya ini. Buntu aku seketika lantaran sudah agak lama jari jemari ini tidak menari di atas "keyboard" ini. Semacam selautan cerita yang hendak aku ceriterakan, namun tak pasti di mana dan bagaimana patah rangkap pertama ini harus bermula.
Sedar tak sedar, sudah seminggu bujang kota ini meniti Ramadhan di perut kota metropolitan ini yang semakin hari semakin banyak onak dan cabarannya. Mujur saja ini bukanlah kali pertama aku menyambut kedatangan bulan yang penuh barakah ini sendirian. Namun jauh di sudut hati, aku tetap merindui suasana menyambut puasa di kampung bersama emak, adik, abang dan kakak yang kukuh aku pahatkan wajah mereka di dalam hati ini. Seakan terasa pedas masak lemak telur masin yang emak masak untuk hidangan bersahur. Pasti saja terbuka selera anak emak yang seorang ini bersahur walaupun dengan mata yang masih kelat kantuknya. Kecur air lur mengenangkan soto ayam air tangan emak yang menjadi kegemaran aku. Alah bisa tegal biasa. Demi sebuah tanggungjawab yang aku terpikul di atas bahu ini, aku akur. Seribu kesyukuran aku panjatkan kepada-Nya kerana masih memberikan aku rezeki walaupun kini bersahur dan berbuka tanpa insan-insan yang aku sayang sudah menjadi rutin harian dalam bulan puasa ini. Apa yang aku harapkan semoga Ramadhan ini bukanlah Ramadhan yang terakhir buatku kerana masih terlalu panjang perjalanan hidup ini yang perlu aku teruskan. Akan sampaikah aku ke destinasi itu..? Bisakah tangan ini mengenggam segunung harapan dan impian yang aku bina selama ini..? Biarlah masa yang menjadi tali pengukurnya. Apa yang pasti sendirian ataupun tidak, langkah ini mesti terus. Kaki ini akan terus melangkah dan terus melangkah atas nama sebuah kehidupan...
1 comment(s):
tu dia, dah start balik...
By Paksu, at 12:30 PM
Post a comment
<< Home