Segalanya Bermula Di sini...

Thursday, November 24, 2005

Tetamu Petang



Dari luar jendela aku dapat perhatikan suasana sekeliling yang semakin suram dek awan mendung yang meliputi seluruh atap langit. Mentari seakan merajuk, menyorokkan sinarnya di balik kepulan awan mendung lantas membiarkan bumi metropolitan ini suram sejak beberapa hari kebelakangan. Panjang lelah nafas aku lepaskan sambil menarik tutup daun jendela lantaran sudah terpandangkan rintik-rintik halus hujan mulai turun membasahi bumi bertuah ini. Asyik sekali lamunanku melayan langit mendung petang sehingga tak terperasankan yang uniform kerja masih kemas melekat di tubuh. Lenyap seketika perit jerih bekerja apabila sudah berada di dalam rumah ini. Tempat "bertendang" kami 6 sekawan yang sudah hampir 4 tahun bersama. Tubuhku yang keletihan seakan merayu-rayu agar direbahkan keatas tilam bujang yang sudah mati empuknya. Mata yang sudah kelat dengan kantuknya bersedia untuk dilelapkan menantikan sebuah mimpi indah mainan tidur yang pasti takkan jadi realiti.

"Assalammualaikum...", Dari dalam bilik aku dapat menangkap suara seseorang memberi salam dari luar rumah berserta dengan ketukan di dinding pintu beberapa kali. "Siapa pulak ni..", hati kecilku bertanya sendirian. Pasti saja bukan teman-teman serumahku kerana mereka masing-masing mempunyai kunci rumah sendiri. Dengan langkah yang sedikit longlai aku berjalan ke muka pintu dan membuka pintu rumah dengan perasaan yang masih tertanya-tanya. Dalam hatiku berkali-kali berharap agar yang memberi salam itu bukan jurujual atau yang sekerjaya dengannya.

"Waalaikumsalam", sahutku sambil mataku tertumpu pada sekujur tubuh yang kurus melidi di hadapan pintu."Astagafirullah, ke mana saja kau hilang ni Saini?". Terpacul sebuah soalan tatkala terpandangkan teman rapatku yang tiba-tiba menyepikan dari tempat kerja tiba-tiba muncul di hadapanku. "Kot ye pun, jemput la aku masuk dulu Rul", jawabnya sambil mengukir sebuah senyum. "Iya tak ya jugak, eh masuklah". Tersipu-sipu aku seketika kerana membiarkan tetamu di luar rumah. Sudah hampir 3 minggu dia menyepikan diri tanpa berita, membiarkan semua teman-teman sekerja tertanya-tanya mengapa dia sudah tidak menampakkan diri di stesen lagi. Hari ini, Susaini yang sudah menjadi teman rapatku sejak mula aku bekerja di Monorail muncul dengan 1001 misteri yang pastinya akan aku korek satu persatu sebentar lagi.

"Kau pegi mana sebenarnya ni Saini..? Kau dah berhenti kerja ke? Ada masalah family? Ada masalah kat stesen ke..?" Bertalu-talu soalan aku lemparkan lantaran desakan perasaan ingin tahu yang membuak-buak. "Aku dah berhenti kerja la Rul, seminggu sebelum raya hari tu lagi. Sekarang ni aku stay kat Ipoh dengan orang rumah aku. Kitaorang kerja kat sana", jawabnya padat dan ringkas. "Aku mintak maaf sangat-sangat sebab tak bagitau engkau yang aku nak berhenti hari tu. Dah rezeki aku bukan dengan Monorail lagi agaknya. Lagipun dah tak ada semangat la nak keje kat situ.", Susaini menyambung sebelum sempat aku membuka mulut. "Hmm, tak apalah Saini, aku faham. Aku bukannya apa, engkau tu hilang cam tu je, bukan nak sound kat member-member nak berhenti. Risau gak aku, ingatkan dah lari ke Afrika Selatan ke mana ke..."."Aku tau la aku kurus kering Rul, tapi jangan la suruh aku pegi Afrika sana..." Terburai tawa kami berdua kerana lawak yang dia ciptakan.

Senang sekali aku berkawan dengan orang seperti Susaini. Dialah orangnya yang aku mengadu hiba setiap kali ada kusut yang melanda jiwa. Tak pernah sekalipun kami bertengkar birapun kami kadangkala bercanggahan pendapat. Sikapnya yang peramah, lemah lembut dan sentiasa bersahaja itu membuatkan bukan aku sahaja, malahan mana-mana staff di Monorail senang berkawan dengannya. Kehadirannya hari ini membuktikan yang dia masih ingat pada teman-teman biarpun kini kami sudah tidak lagi sehaluan. Seorang demi seorang teman meninggalkan aku demi mencari hala tuju yang lebih baik di tempat lain. Aku akur dengan hakikat yang hidup ini harus diteruskan biar apa pun situasinya. Yang pasti kenangan manis bersama teman-teman sekerja yang kini sudah tidak bersama lagi akan menjadi suatu memori yang akan tetap terpahat dalam hati ini. Doaku semoga mereka akan beroleh apa yang mereka impikan dan seperti mereka juga, aku sentiasa berdoa yang suatu hari nanti, layar ini boleh aku ubah halanya, sauh ini boleh aku angkat ke atas demi meneruskan sebuah perjalanan kehidupan..


Friday, November 04, 2005

Selamat Hari Lahir...


Dengan sedikit debaran aku genggam kemas kotak yang berbalut kemas dengan kertas pembalut berwarna merah itu. Setelah seminggu "terperap" di dalam almari, hari ini, isi kandungannya akan bukan lagi suatu misteri. Amanat Abg Plumber yang menyuruh aku agar tidak membuka hadiah itu aku pegang sehinggalah tarikh keramat itu tiba, iaitu hari ini. Ya, hari ini, 23 tahun yang lalu, emak telah mempertaruhkan nyawanya demi memberi peluang kepada seorang insan untuk belajar dan memperjuangkan nasib di atas muka bumi ini. Bayi yang sihat tubuh fizikalnya itu hari ini telah pun dewasa dan nafasnya masih lagi melekat di rongga dengan izin Tuhan yang Maha Kuasa. Hanya lafaz syukur yang tidak terhingga dapat aku ucapkan kerana dengan izinnya umurku memanjat ke satu anak tangga lagi demi meneruskan perjalanan yang belum selesai ini.


Dengan cermat, satu demi satu lipatan yang membalut rapi kotak itu aku leraikan. Hanya sebuah senyuman yang dapat menggambarkan betapa besar hati ini apabila sebatang pena yang terukir namaku di atasnya menjadi hadiah harijadiku yang ke-23. Amat bermakna sekali hari lahirku pada tahun ini kerana masih ramai teman-teman yang tak lupa memberikan ucapan selamat hari lahir. Bagiku, tiada hadiah yang lebih bermakna selain ingatan yang tak pernah luput atas nama sebuah persahabatan. Terima kasih kawan-kawan, insan-insan yang aku sayang dan abg plumber.


Thanks a lot..

Thursday, November 03, 2005

Airmata Di Pagi Syawal 1


Solat sunat Aidilfitri pagi ini berakhir dengan sebuah perasaan yang bercampur baur. Malas sekali rasanya mahu pulang ke rumah lantaran memikikrkan tiada siapa di rumah dan tiada apa yang boleh aku lakukan selain menonton tv. Saat-saat begini mahu saja rasanya aku minta dikurniakan sepasang sayap agar bisa aku terbang terus ke kampung. Tersenyum sendirian aku memikirkan impian gilaku yang pastinya hanya tinggal impian. Manakan bisa manusia terbang?? Pagi-pagi raya pula tu.. heheh.. terhambur sedikit tawa sendrian dengan jenaka yang datang entah dari mana..

"Assalammualaikum, mak. Selamat hari raya,", ucapku pada emak yang baru sebentar tadi menjawab panggilan telefonku. Cuping telingaku dapat menangkap suaranya yang sedikit bergetar apabila emak mula berbicara. " Selamat hari raya dik, dah balik sembahyang raya ye?", lembut suaranya masih tidak dapat menyembunyikan betapa sayunya hati seorang ibu apabila anaknya tak dapat pulang bersama meraikan hari raya. "Baru balik mak." Aku menjawab perlahan sambil sedaya upaya menahan sebak yang terbuku di dalam hati. Tak mahu aku mengalirkan air mata lantas mencipta sayu di hati orang tua itu.."Semua orang balik, adik je tak ada", sambung emak dengan sedikit esak di hujung suaranya. " Nak buat macam mana mak, adik kene keje hari ni", sahutku sambil menyeka air mata yang mulai gugur lantaran rasa hiba yang tak terbendung lagi rasanya. " Tak apalah dik, insyallah tahun depan kita semua boleh beraya sama-sama. Adik kerja baik-baik ye, jaga diri tu. Mak nak ziarah kubur atuk, nenek kejap." " Iya lah mak, sampaikan salam adik kat semua ye. Selamat hari raya mak". "Selamat hari raya dik, assalammualaikum..". Sayup suara emak di hujung talian sebelum perbualan kami berakhir dengan tangis yang masih bersisa di kelopak mataku. Tak sepatutnya aku menangis di pagi hari mulia ini. Apakan daya, aku cuma manusia biasa yang masih mendambakan kasih sayang keluarga. Lebih-lebih lagi daripada emak yang sudah menjadi ayah dan ibu kepada kami adik beradik sejak kami kecil lagi. Tiada apa yang aku harapkan ketika itu selain kegembiraan yang melimpah ruah untuk mereka dalam menyambut hari raya ini.

Perut yang mula berlagu mengingatkan aku yang aku masih belum menjamah apa-apa lagi sejak malam tadi. Entah apa saja yang aku fikirkan sehingga lansung terlupa untuk mengisi perut yang semenjak dua menjak ini semakin "mesra" dengan makanan. Tak kira tempat dan masa, ia akan sentiasa berlagu minta diisi degan makanan. Tak hairanlah jika ada teman-teman yang berkata aku nampak semakin berisi. Peti ais yang nampak usang itu aku kuak pintunya untuk mencari apa-apa yang bisa aku masak. Mujur saja masih ada lebihan nugget ayam yang aku beli di pasaraya besar Carrefour dua hari lepas. "Ketupat rendang tak ada, nugget pun layan je lah." Omelku sendirian. Pagi raya itu, aku menjamu diri sendiri dengan hidangan nugget ayam yang masih panas beserta dengan sos barbeku dan diserikan dengan air teh 'O' panas. Harap-harap adalah yang membawa makanan di tempat kerja nanti. Mana lagi agaknya aku hendak cari makanan pada waktu-waktu begini. Pasti tak ada gerai-gerai makanan yang beroperasi. Makanan segera?? Ahh, tekakku sudah mual bila memikirkan Mc'donalds, KFC dan segala macam makanan segera yang lain.


Tiada banyak yang boleh aku lakukan pagi-pagi raya begini. Kalau di kampung sudah pasti panjang langkah ini. Kemana lagi kalau bukan ke rumah sanak saudara dan sahabat handai yang sudah lama tidak aku ketemui. Tak kurang juga kesibukan melayan para tetamu yang akan datang bertali arus untuk sama beraya. Telefon bimbitku dari tadi tak henti berbunyi, menerima pelbagai macam pesanan ringkas ucapan selamat hari raya. Ada yang menghantar teks ucapan dan tak kurang juga yang menghantar gambar MMS mereka. Terima kasih kepada rakan-rakan dan "insan-insan" yang masih mengingati aku di sini. Selamat hari raya semua..

Air Mata Di Pagi Syawal

اللّهُ أكبر اللّهُ أكبر
Allahu Akbar, Allahu Akbar

اللّهُ أكبر
Allahu Akbar

لا إلَهَ الا اللّه
La illaha il Allah

اللّهُ أكبر اللّهُ اكبر
Allahu Akbar, Allahu Akbar

و لِلّه الحمدَ
walilahil Hamd

اللّهُ أكبرُ كَبيِرَا
Allahu Akbaru Kabeera

وَالحَمدُ لِلّهِ كَثِيرا
wal-Hamdulilahi katheera

وَ سُبحَان اللّهِ
wa Subhan allahi

بُكرَةً وَأصْيِلا
bukratan wa aseila

لا إلَهَ الا اللّه
La illaha il Allah

صَدَقَ وَعدَه
sadaqa wa'dah

وَنَصَرَ عبده
wa nasara abda

وأعزَ جُنَده
wa a'azza jundahu

وَهزم الأحْزَابَ وحْدَه
wa hazamal-ahzaaba wahdah

لا إلَهَ الا اللّه
La illaha il Allah

وَلا نَعبُد الا أياه
wa laa na'budu illa iyyah

مُخلِصِّينَ لَهُ الدّيِنَ
mukhlessena lahud-deena

وَلوْ كَرِهَ الكَافِروُن
walaw karehal-Kafeeroon

اللّهمَ صَلِّ على سيْدنَا مُحَمد
Allahumma salli ala sayyedna Muhammad

وَعَلى آلِ سيْدنَا مُحَمد
wa ala aalie sayyedna Muhammad

وَعَلى اصْحَابِ سيْدنَا مُحَمد
wa ala as-haabie sayyedna Muhammad

وَعَلى أنصَارِ سيْدنَا مُحَمد
wa ala ansari sayyedna Muhammad

وَعَلى أزوَاجِ سيْدنَا مُحَمد
wa ala azwajie sayyedna Muhammad

وَعَلى ذُرِّيَةِ سيْدنَا مُحَمد
wa ala dhurreyatie sayyedna Muhammad

وَ سَلّم تَسْلِيماَ كَثّيرا
wa sallim tasleeman katheera

*********************


Deringan daripada telefon bimbitku yang dari tadi asyik "menjerit-jerit" minta di jawab panggilannya menyedarkan aku dari lena yang tak berapa nyenyak. Manakan tidak, seingat aku hampir jam 4 pagi semalam baru mata ini aku lelapkan. Melayari malam raya sendirian bukanlah sesuatu yang menggembirakan, makanya television sajalah yang jadi peneman. "Honeybear", mataku yang masih kelat dek mengantuk dapat membaca nama pemanggil yang tertera di atas skrin telefon bimbitku." Iskkkh, kenapa pulak dia call pagi-pagi macam ni"? terbit sebuah soalan di benak fikiran ketika itu. Tersenyum kambing aku sendirian apabila teringatkan yang aku ada berpesan padanya supaya mengejutkan aku pagi ini lantaran tak mahu kelewatan untuk bersembahyang raya nanti. " Thanks sayang, selamat hari raya", pendek jawabku lantas mematikan perbualan yang singkat itu.

Perlahan aku kuak daun jendela, membenarkan angin pagi syawal serbu menyerbu masuk memenuhi segenap ruang rumah yang sunyi sepi ini. Aku lontarkan pandangan ke arah jalan raya yang lengang sejak 2-3 hari lepas. Hanya yang kelihatan beberapa buah kenderaan yang mundar mandir memuatkan penumpangnya yang masing-masing segak dan bergaya dengan berpakaian lengkap baju melayu dan bersongkok hitam. Dingin pagi langsung tidak menghalang aku bersiap untuk bersama menunaikan solat sunat Aidilfitri. Baju melayu cekak musang berwarna hitam yang sudah menjadi baju raya rasmiku sejak 3 tahun yang lepas yang masih elok, aku kenakan dengan sampin hitam bersulam benang emas.

Laungan takbir raya yang sahut menyahut daripada beberapa buah masjid berhampiran menyedarkan aku yang aku harus segera ke sana agar tidak terlewat nanti. Ah, syahdu sekali rasanya mendengarkan laungan takbir raya di saat-saat ini. Terbayangkan satu persatu wajah insan tersayang di desa sana yang tak dapat aku raikan bersama hari raya pada tahun ini. Rasa sebak dan sedih mulai meruntun jiwa, namun aku tahankan kerana tiada apa yang akan mengubah hakikat yang aku akan tetap sendirian di sini. Lemah langkahku menuju ke masjid, walaupun tergambar di wajah setiap jemaah yang hadir akan kegembiraan mereka menyambut hari kemenangan ini. Aku pujuk hati supaya turut sama bergembira walaupun masih terasa sedikit sebak. Apa yang pasti inilah harinya yang di tunggu-tunggu, hari kemenangan yang seharusnya di raikan oleh semua umat Islam biar apapun keadaannya. Sekali lagi aku terpaksa menempuh hari raya tanpa insan-insan tersayang demi tututan tugas yang perlu aku dahulukan.

Wednesday, November 02, 2005

Sebening Lebaran


Dengan penuh debaran aku menanti di hadapan kaca television, memasang telinga dan tidak sekali-kali melepaskan pandangan ke arah Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah yang segak duduknya di atas sofa kayu berukir itu. Seakan menanti jawapan kepada sebuah soalan yang amat penting, aku menjadi semakin tidak sabar apabila setiap butir perkataan yang keluar dari mulutnya seakan terlalu lambat. Biarpun hampir pasti yang Hari Raya akan jatuh pada hari khamis, namun detik-detik seperti ini amat bermakna sekali bagiku. Aku masih ingat ketika zaman kanak-kanak dahulu bilamana tiba malam hari raya, kami adik beradik akan berkumpul beramai-ramai di depan kaca tv untuk menunggu pengumuman hari raya. Sorakan dan jeritan kegembiraan " esok raya..!!! esok raya!!" pasti akan bergema di setiap ceruk rumah jika diumumkan raya jatuh pada esok harinya. Hari raya, siapa lagi yang berlebih-lebih seronoknya jika bukan kanak-kanak. Biarpun zaman riang itu sudah lama berlalu, sudah lama aku tinggalkan di belakang, namun kenangannya amat manis sekali terutama bila tiba hari raya.


"Dengan ini saya mengisytiharkan Hari Raya Aidilfitri telah di tetapkan pada 3 November 2005 bersamaan hari khamis". Patah-patah perkataan itu menyedarkan aku dari lamunan singkatku. Terleka seketika digamit kenangan zaman kanak-kanak dahulu. "Alahmdulillah, esok raya", bisikku perlahan. Begitu pantas peredaran masa aku rasakan. Sebulan berpuasa di bulan Ramadhan berakhir sudah dan esok umat Islam di seluruh dunia akan meraikan hari kemenangan, merayakan Hari Raya Aidilfitri. Semoga raya tahun ini akan menjanjikan 1001 kebahagiaan buat semua umat Islam . Walaupun bersendirian di sini meraikan hari raya jauh di hati kecil ku aku sentiasa mengharapkan agar insan-insan yang amat aku sayangi akan sentiasa gembira dan doakku takkan pernah putus-putus semoga kebahagiaan akan mengiringi kehidupan mereka.

Syawal... Kehadiranmu Dinanti


"Kalau ikut kalender, esok raya ni, tapi kena tengok anak bulan jugak", bisikku dalam hati sambil menghitung-hitung Ramadhan yang semakin berlalu untuk memberi peluang kepada bulan Syawal yang di nanti-nantikan oleh semua umat Islam.
"Apa agaknya yang emak masak untuk raya nanti ye?", terpacul tiba-tiba pertanyaan yang tiada siapa yang akan menjawabnya tatkala terkenangkan suasana rumah di kampung sehari sebeblum kedatangan syawal. Pasti saja sedang sibuk orang tua itu mengayam ketupat yang menjadi juadah wajib setiap kali tibanya hari raya. Takkan lengkap hidangan hari raya tanpa rendang daging, sambal kacang, kuah lodeh yang bermacam-macam lagi masakan yang pasti saja akan aku kempunan untuk menjamahnya nanti. Meruntun-runtun hati kecil ini mahu pulang ke desa. Mahu bersama merasai meriah dan seronoknya menyediakan segala-gala yang perlu untuk 1 syawal yang cukup bermakna.

"Nak berbuka apa ye hari ni?". Aku bertanya pada diri sendiri lantaran waktu berbuka puasa sudah hampir, sedangkan aku masih bungkam di pejabat sendirian melayani perasaan yang sedang di landa "mood" hari raya! "Makan Mc'Donalds la hari ni, habis cerita", tegasku yang sudah pasti benar tiada lagi pasar ramadhan yang dibuka kerana esok sudahpun hari raya.

"Esok dah tak ada buka puasa, dah tak ada sahur"... Perlahan aku suap "potato wadges" kedalam mulut sambil ingatanku entah melayang ke mana sambil terkenang 30 hari dalam bulan ramadhan yang sudahpun berlalu pergi. "Sempurnakah puasaku..? Akan diterimakah segala amal ibadat yang aku kerjakan selama bulan yang mulia itu?", terkedu seketika aku apabila terkenangkan betapa lemah dan banyak kekurangannya aku sebagai umatNya. Insaf seketika lantaran terdetik hati untuk muhasabah diri sendiri yang semakin jauh daripada jalanNya. Insan yang lemah ini hanya mampu berdoa dan memohon kepadanya agar dikurniakan taufik dan hidayah kepadaku untuk aku terus berjalan di atas muka bumi ini sebagai seorang khalifahnya yang patuh.


Tuesday, November 01, 2005

November...Menyambut Kedatangan Syawal



Amat panjang aku rasakan hari ini walaupun punggung ini baru saja aku labuhkan di atas kerusi yang saban hari menjadi teman setia untuk aku merehatkan diri. "Ahh.., baru pukul 12 rupanya", aku berbisik sendirian. Kalaulah aku punya kuasa, mahu saja rasanya aku cepatkan masa yang sedang berdetik, melangkau kehadapan supaya tidak aku "sengsara" dimamah rasa kebosanan yang teramat sangat ini. Apakan daya, satu minit itu memerlukan 60 saat untuk melengkapkannya. Mahu ataupun tidak terpaksalah aku menunggu sehingga habis masa kerjaku ini nanti.

Aku lontar pandangan ke sekeliling pejabat yang sunyi sepi. Hanya deruan angin daripada penghawa dingin yang sesekali memecah keheningan pejabat yang sepi ini. Kenapa hanya aku yang tinggal di sini..? Ahh, perlukah aku bertanyakan soalan yang sudah ada jawapannya... Teman-teman sekerja yang lain semuanya sudah pulang ke kampung untuk menyambut hari raya bersama keluarga masing-masing. Tinggallah aku bersama 2-3 orang teman yang lain, menyambung tugas walaupun di dalam hati sedikit meronta-ronta ingin pulang sama ke kampung. Semakin pantas jariku menari-nari di atas papan keyboard, menaip setiap patah perkataan dan nombor di dalam laporan harian. Kerja ini harus aku siapkan sesegera yang mungkin. Aku harus melarikan diri dari suasana pejabat ini yang tak ubah seperti rumah tinggal yang berpenunggu. Adalah lebih bagus aku habiskan masa aku di stesen. Setidak-tidaknya ada juga staf-staf customer service di stesen yang boleh ku jadikan teman untuk berbicara.

"TURN OFF COMPUTER", "SHUT DOWN". Beres!! bisikku dalam hati sambil tersenyum kepuasan sebelum menutup suis pada komputer setelah selesai segala tugasan di pejabat. Destinasi selepas ini sudah pasti stesen, tapi belum pasti stesen mana yang harus aku singgah. Itu semua belakang cerita, yang penting sekarang aku harus beredar dari sini supaya aku tidak terus-terusan kebosanan.

Sushi Time.. Itedekimasu...


"Apasal la ramai lagi orang kat KL ni..?? tak balik kampung ke masing-masing??". Aku membebel sendirian tatkala terpandangkan deruan manusia yang masih berpusu-pusu keluar masuk daripada perut train menuju ke destinasi masing-masing. " Oooo.. hari ni kan Deepavali, patutlah orang ramai lagi." Hampir saja aku menepuk dahi kerana terlupa yang hari ini cuti umum sempena Pesta Cahaya itu. Rasa sayu tiba-tiba menyerbu diri bila mengenangkan yang aku takkan pulang untuk beraya nnti. Sedang semua orang di sekeliling sedang sibuk menyiapkan segala yang patut untuk hari raya nanti, aku masih di bumi Kuala Lumpur ini. Bersendirian. Hmm... nasib, nasib.. Tapi apabila aku buka pandangan ini seluas-luasnya aku tetap memanjatkan syukur kepadaNya kerana masih memanjangkan usia ini untuk aku mengakhiri bulannya yang penuh kerahmatan. Tak seharusnya aku bersedih kerana di luar sana pastinya ramai lagi yang senasib dengan aku yang tak dapat pulang beraya bersama keluarga.

Masa berlalu dengan pantas apabila matahari mula membenamkan wajahnya di ufuk barat sana. Memberitahu umat manusia yang petang semakin tua dan akan berganti malam sekejap masa lagi. Lantas aku bergegas turun dari train lantaran teringatkan janjiku untuk berbuka puasa bersama abg man. "Jumpa abg kat Maju Junction sekejap lagi". Ringkas dan padat pesanan ringkas yang aku terima melalui telefon bimbitku sekejap tadi. "Aiseh, lagi sepuluh minit nak berbuka ni...", aku berkata sendirian lantaran terpandangkan masa yang tercatat di atas jam tanganku. Langkah aku cepatkan supaya tidak terlambat. Mujur saja Abg Man baru tiba sejurus aku sampai di sana. " Full house, kita berbuka air dulu, sembahyang, then baru cari tempat makan ye", cadangnya apabila semua premis-premis menjual makanan segera mahupun restoran sudahpun dipenuhi oleh pengunjung yang sudah pasti ingin berbuka puasa juga.



Sushi King. Sudah agak lama aku tidak menikmati makanan Jepun ini. Pernah juga aku cuba untuk makan ikan mentah dengan wasabi yang perih pedasnya itu, namun anak tekak ini tidak mahu menerima makanan yang seperti itu. Makanya setiap kali berkunjung Sushi King, hanya makanan yang dimasak sahaja yang akan jadi pilihanku. Berselera sekali Abg Man menikmati sushinya dan aku memilih Peri-Peri Chicken untuk jadi santapan. Malam esok mungkin malam terakhir umat Islam berpuasa dan aku sedikit terkilan kerana tak dapat berpuasa di kampung. Tak dapat merasa enaknya masakan emak ketika bersahur, lebih-lebih lagi ketika berbuka puasa. Insyallah jika masih panjang lagi hayat ini aku akan bertemu dengan Ramadhan sekali lagi tahun hadapan. Semoga Ramadhan tahun ini bukanlah yang terakhir buatku. Salam Ramadhan dan Salam Aidilfitri buat semua...