Segalanya Bermula Di sini...

Friday, October 28, 2005

Menghitung Hari....Raya..???

Gambar raya taun bila ntah... Aku pun dah naik lupa...:p


"26, 27.... yess, lepas ni off day aku!!". Mulutku terkumat kamit sendirian sambil mataku masih tertancap kemas pada helaian kalender yang semakin kusam meniti hari-hari terakhir dalam bulan oktober ini. Ramadhan yang tinggal hanya beberapa hari saja lagi menyedarkan aku betapa pantasnya peredaran masa, sedangkan rasaya seperti baru semalam anak bulan Ramadhan menampakkan wajahnya. Suasana Hari Raya jelas terasa di minggu-minggu terakhir ini bilamana teman-teman serumah masing-masing sibuk dengan persiapan raya mereka. Ada yang ghairah mahu pulang awal ke kampung, ada yang sudah sedia dengan 2-3 pasang baju raya dan tak kurang juga dengan "bekalan" bunga api dan mercun yang pastinya akan menambah kemeriahan hari lebaran nanti.

"Im sorry Azrul, tapi cuti hari raya awak saya tak dapat nak approve kan". Kata-kata keramat yang masih dengan alasan tiada senior techician yang akan bertugas pada hari itu. Hmm.. nampaknya seperti tahun lepas, malam raya dan pagi raya aku akan bersendirian sekali lagi. Kempunan lagi nampaknya nak merasa ketupat, rendang dengan sambal kacang emak yang tentu saja jadi kegemaran aku. Sedih betul rasanya bila raya yang cuma setahun sekali ini tak dapataku isambut dengan emak dan adik-adik. Apakan daya, adat resam orang merantau mencari rezeki di tempat orang. Yang pasti persiapan raya untuk emak di kampung tak pernah aku lupakan. Mujur saja kuih-kuih raya yang ditempah daripada Pian dan Afik sudah aku ambil. Nampak macam banyak, tapi aku rasa masih perlu di tambah semacam dua. Dah tentu orang tua kat kampung tu tak sempat nak buat kuih raya banyak-banyak.

Tuesday, October 25, 2005

Nasi ikan goreng.. yummmyy...:-)


Ya ampun, dah pukul 1.30 pagi rupanya... Sejak balik dari KLCC tadi aku duduk menghadap PC yang dari tadi asyik berlagu dengan pelbagai lagu yang jadi pilihan aku. Sedar tak sedar dah naik panas kerusi yang aku duduk ini. "Ermm.., tunggu sampai sahur la baru aku tidur, lagipun rasa macam nak masak untuk sahur nanti" hatiku berbisik sendirian mengenangkan nasi yang masih banyak bersisa di dalam periuk. Mujur saja tergerak hati mahu menanak nasi bila pulang dari kerja petang tadi. Alhamdulillah, masih kenyang lagi rasanya perut ini berbuka dengan nasi dan ikan goreng yang aku masak sendiri. Sudah lama rasanya tak menjengah ke dapur lantaran tiada masa untuk memasak sendiri. Sekali sekala makan masakan sendiri terasa seronoknya walaupun seekor ikan kembung goreng cuma.
Sudah terbayangkan nasi goreng bersama telur goreng yang akan aku masak untuk bersahur nanti. Masakan orang bujang, yang cepat dimasak, dan sedap dimakan atau dengan kata lain yang boleh diterima anak tekak. Tentang makanan memang aku tidak memilih sangat, asalkan kenyang perut sudah memadai bagi aku. Teringin juga sekali sekali mahu masak masakan yang selalu emak masak di kampung, apakan daya, masa jadi penghalang utama. Hmm.. rindu pula rasanya pada masakan emak.